HARAPAN DAN JALAN TAKDIR

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera semua.

Hari ini, azman nak kongsikan kata kata motivasi kepada semua mereka yang membaca bertajuk "HARAPAN & JALAN TAKDIR".


Harapan dan Jalan Takdir

Harapan tidak pernah hilang andai kita percaya dan serahkan semuanya kepada Allah. Takdir tidak pernah kejam kerana semua aturannya indah belaka.

Kau tidak perlu memohon kepada Allah untuk lakarkan takdir yang cukup indah. Sepahit atau semanis mana pun takdir yang diberi Allah, yang paling penting adalah pergantungan kau kepada Allah.

Begitu banyak doa dan harapan yang kita panjatkan kepada Allah tetapi sehingga ke hari ini doa dan harapan tersebut belum termakbul.

Barangkali kita terlupa bahawa Allah sedang mengajar kita makna kesabaran. Jika semua permintaan kita ditunaikan Allah, bagaimana harus kita pelajari proses bersabar itu ? Jika semua doa kita dikabulkan oleh Allah, berapa lama kita akan bersama dengan Allah ?

Apabila Allah ambil insan yang paling kita sayang dari hidup kita, bagi kita Allah tidak adil. Barangkali kita terlupa bahawa insan yang Allah hadirkan itu merupakan ujian buat kita. Mungkin juga Allah telah siapkan buat kita insan yang lebih baik dan istimewa.

Apabila perkara yang paling kita inginkan, Allah berikan kepada orang lain, bagi kita Allah pilih kasih. Barangkali kita lupa bahawa perkara yang kita inginkan itu belum tentu terbaik untuk kehidupan kita.

Sahabat, terimalah hakikat bahawa inilah realiti kehidupan. Ada perkara yang perlu kita terima walaupun dengan terpaksa. Bukan semua perkara yang kita minta akan Allah kabulkan. Jika semua perkara Allah telah kabulkan di dunia ini, jadi apa perlunya Allah wujudkan akhirat ?

Usah khuatir! Bagi setiap kekecewaan dan kesedihan yang Allah hantarkan itu, telah Allah hadirkan bersama cebisan kekuatan. Biar sepedih mana pun jalan takdir kehidupan kita, terimalah ia dengan ikhlas.

Percayalah! Setiap takdir yang disusunkan Allah untuk kita, itulah yang terbaik untuk kehidupan kita.

Takdir itu terlalu misteri. Kita sendiri tidak tahu apa akan terjadi pada kita esok hari, pada tahun yang akan datang dan seterusnya. Entahkan masih ada di dunia ini atau tidak ? Jika hidup, entah bagaimana kehidupan kita. Kadang-kadang kita selalu memohon kepada Allah jauhkan kita daripada sesuatu yang tidak kita suka tetapi perkara yang tidak kita suka itulah yang ditakdirkan Allah kepada kita. Adakah dengan mengeluh dan meratapi akan menjadikan takdir hidup kita berubah ? Tidak sama sekali. Cukup sahabat! Kita jangan persoalkan rencana Tuhan. Bukankah kehidupan yang kita jalani ini untuk meraih redha-Nya?

Jika Allah beri dua pilihan hidup kepada kita, sudah tentu tiada seorang pun yang mahu memilih jalan takdir yang penuh dengan kesakitan. Lalu, jika tiada jalan takdir yang sakit, di mana letaknya ujian buat hamba-Nya? Bagaimana Allah mahu mengajar hamba-Nya untuk bersabar dan bagaimana kita belajar untuk menerimanya?

Ini bukan kisah dongeng ciptaan manusia yang kita lihat di kaca televisyen. Inilah realiti hidup. Dalam kebahagiaan yang kita rasa, ada kepahitan yang terpaksa kita tempuh. Jangan kita persoalkan kenapa Allah takdirkan hidup kita sedemikian rupa. Sudah Allah aturkan sebegitu. Didiklah diri untuk mendepani takdir dengan meletakkan Allah di hadapan, maka kita akan lebih mudah untuk menerima dan mengikhlaskan. 

Comments